Sime Darby, Mitsui, Mitsubishi bangunkan kemudahan industri di Klang

  • Post author:
  • Post category:News

KUALA LUMPUR, 13 Nov — Sime Darby Property Bhd beserta Mitsui & Co, Ltd. dan Mitsubishi Estate Co Ltd akan membangunkan kemudahan perindustrian berkonsepkan ‘binaan-ikut-keperluan’ (BTS) di kawasan perindustrian Bandar Bukit Raja Industrial Gateway di Klang, Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sime Darby Property yang juga pemaju terbesar Malaysia dari segi simpanan tanah, berkata pembangunan di atas kawasan seluas 15.78 hektar itu akan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama miliknya, SDMIT Development Sdn Bhd.

SDMIT kini terbabit dalam rundingan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan penyewa tambahan pembangunan itu selain merancang untuk mengembangkan portfolio kemudahan BTS berkenaan.

Setakat ini, pembangunan tersebut berjaya menarik penyertaan dua penyewa — Leschaco (Malaysia) Sdn Bhd yang juga penyedia perkhidmatan logistik global dan Senheng Electric (KL) Sdn Bhd iaitu antara rangkaian kedai elektronik terkemuka negara ini.

“Pembinaan bagi kemudahan BTS untuk Leschaco (Malaysia) dan Senheng Electric (KL) telah dirancang untuk dimulakan secara serentak pada November 2019,” katanya, menambah kedua-dua usaha itu membabitkan kawasan tanah kira-kira 4.05 hektar dengan keluasan dianggarkan 385,000 kaki persegi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri berkata Selangor turut menempatkan lebih daripada 10 kawasan perindustrian strategik selain bandar dan kawasan perbandaran.

“Bandar Bukit Raja Industrial Gateway itu mendapat manfaat kerana kedudukannya di Selangor yang juga negeri termaju serta kawasan dipacu oleh usaha ekonomi dan pembuatan dengan infrastruktur perniagaan dan akses cemerlang selain penduduknya yang berpendidikan serta berkemahiran tinggi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MBK Real Estate Asia, Eiichi Tanabe pula berkata usaha itu merupakan projek pembangunan perindustrian pertama di Lembah Klang untuk Mitsui.

“Ekonomi Malaysia akan terus tumbuh hasil daripada peningkatan permintaan membabitkan barangan pengguna yang berkembang pesat dan perniagaan e-dagang yang memberi impak dari segi konsolidasi dan keperluan penempatan semula gudang simpanan.

“Kami yakin projek ini akan berjaya hasil daripada kerjasama dengan rakan strategik, Sime Darby Property dan Mitsubishi Estate,” kata Eiich.

MBK Real Estate Asia adalah anak syarikat milik penuh Mitsui & Co yang terbabit dalam pembangunan hartanah serta aktiviti pelaburan.

— BERNAMA

Source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1789365